Thursday, October 21, 2010

Iqbal Berbicara Tentang Cinta dan Diri

Dua unsur yang menjadi gagasan kepada pokok pemikiran Iqbal ialah diri (khaudi) dan cinta (ishq). Nilai tersebut diambil dari keperibadian agung Nabi Muhammad S.A.W. Beliau terus berkelana dan tenggelam dalam penuh kesyahduan mendalami makna hakikat diri dan kepatuhan kepada Allah Ta'ala. Sekurang-kurangnya itulah antara inti yang terkandung dalam karyanya-Asrar-i-Khudi atau Rahsia-rahsia Diri yang menjadi bahan pemikiran dan perbincangan dalam wacana semalam.
Brother Nizam Mahshar bermula dengan menyentak akal khalayak tentang kepentingan membaca. Untuk membangun diri, membentuk keluarga, meninggikan syiar Islam, dan menggerakkan perjuangan atas lapangan. Semuanya bermula kepada satu yakni kefahaman yang benar terhadap hakikat kehidupan, kehambaan dan ketuhanan yang layak disembah dan dipatuhi segala titah perintah-NYA. Semua itu bermula dengan satu pula yakni dengan membaca-sebuah perintah awal sejurus Jibrail datang bertemu Baginda S.A.W.
Membaca itu satu hal tetapi memilih bahan bacaan itu pula satu hal kritikal yang tidak boleh tidak mesti diteliti dengan kritis. Teringat saya dengan pesan Tuan Guru Haji Hadi berkenaan bahan bacaan yang terbaik yang mesti dibaca ialah karya yang penulisnya sudah berkecimpung lama dengan perjuangan tersebut. Maka secara sepintas lalu, Asrar-i-Khudi sememangnya buku yang tepat untuk dibaca dan dihadam dengan kemas oleh para pembaca terutamanya mahasiswa-mahasiswi, 'amilin dan du'at, hinggalah kepada pendiri negara bahkan Iqbal sendiri merupakan ideologue kepada penubuhan negara Pakistan. Penyair-pejungga-pemikir-ahli falsafah ini lahir dan menjalani kehidupan tatkala kolonialisme Barat rakus menjarah tanah-tanah yang dijajahnya. Seperti Malek Ben Nabi, beliau menggagas pemikiran yang memukau untuk menggerakkan nadi dan mengarahkan tenaga umat untuk meraih sendiri kemerdekaan untuk diri, kemerdekaan yang abadi bahkan yang harmoni. Meletakkan diri serendah sebutir zahar, berani menggapai bahkan mendakwa bahawa matahari adalah miliknya. Iqbal bercakap tentang kebenaran yang hakiki, sedang pada masa yang sama pemikiran Pasca-moden mengalih kebenaran sebagai sesuatu yang relatif-semua benar, mungkin juga semua salah. Walhal bagi Iqbal, kebenaran Islam harus berasaskan kepada kesedaran individu yang akan menjadi dasar kepada kekuatan kolektif. Ia harus dimulai dari pengalaman manusia yang secara keseluruhannya bersumberkan Tuhan. Iqbal secara gagah mendakwahkan bahawa hanya Islam punyai jalan untuk membolehkan seseorang dapat menemukan keunikan dan kesejagatannya.
Iqbal menulis juga tentang keperluan membetulkan kefahaman yang asli mengenai Islam dan hal ini terlakar dalam karyanya The Reconstruction of Religious Thought in Islam-himpunan syarahan beliau mengenai Falsafah Islam. Keperluan membetulkan kefahaman ini begitu penting justeru beliau menganggarkan tamadun moden-barat kontemporari gagal memberi kemakmuran dan keharmonian untuk umat manusia seluruhnya seperti yang terlakar dalam puisinya

Percayalah dengan ucapan saya,
Eropah pada masa sekarang merupakan 
penghalang besar bagi kemajuan moral 
umat manusia.

No comments:

Post a Comment