Thursday, October 14, 2010

Memahami Mustadh'afin, Mengukuhkan Perjuangan Pembebasan.

Semalam, 13 Oktober 2010, sekali lagi wacana bedah buku (wbb) berjaya digerakkan. Kali ini pemikiran para peserta dicanaikan pula dengan memahami apa itu Mustadh'afin sekaligus memaknai kewujudan golongan ini dalam siri perjuangan aktivisme yang punyai idealisme yang ampuh dalam memberi sinar cahaya kepada golongan ini, yang senantiasa dalam kekelabuan dalam mencari nikmat sebenar sebuah kehidupan. Dalam golongan ini pula pastinya wujud mereka yang beriman dan beramal soleh namun ini semua harus diteruskan bahkan dibantu oleh manusia yang punyai akal intelek yang tinggi dengan memperjuangkan hak-hak yang sewajarnya mereka peroleh justeru atas nama kemanusiaan. Namun demikianlah rencana kehidupan yang penuh rencam, apatah lagi dalam senario kehidupan ketika ini. Badai globalisasi akhirnya mewujudkan pula Mustakbirin yang rakus dan perampas dalam wajah yang sangat pelbagai dan berbeza pula bentuk kemunafikan gerak kerja yang didokongi mereka. Namun, yang pasti kefasadan ini dialirkan kepada satu matlamat yang sama yakni kuasa politik harus bertambah kukuh, kemewahan harus terus bertambah. Kegilaan yang dahsyat ini telah membutakan mata mereka untuk menilai manusia atas dasar kemanusiaan. Bila disebut atas dasar kemanusiaan maka layanannya harus seperti manusia. Makan, pakai dan tempat tinggal mereka harus terurus bahkan upah atau ganjaran atas kerja dan khidmat yang mereka lakukan harus pula setimpal dengan curahan keringat saban hari. 
Mari kita kembangkan lagi pandangan sarwa kita mengenai Mustadh'afin ini. Jika sebelum ini kita dihadapkan pengertian Mustadh'afin ini dengan dicirikan oleh mereka yang memiliki wajah-wajah yang comot, kusam, selekeh, jahil, kotor dan yang seertinya dengannya. Maka ketika ini Mustadh'afin itu barangkali sekarang sedang menginap dalam mahligai yang serba indah, meluncur di jalan dengan kecanggihan kereta, tubuh tersarung dengan tenunan yang halus dan seni. Mereka boleh terkelompok dalam golongan Mustadh'afin jika gagal memaknai kehidupan ini atas landasan yang benar. Mereka menjadi Mustadh'afin yang mana Mustakbirinnya adalah hawa nafsu mereka sendiri. Inilah yang Allah sebutkan sebagai golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Maka,  mereka ini juga perlu dibantu dan diberikan pengetahuan yang sewajarnya. Namun dek kerana mereka ini Mustadh'afin yang degil dan buta mata hatinya maka mereka pula menjadi Mustakbirin kepada golongan bawahan.
Islam, sebuah agama yang melampaui daripada pengertian amalan ritual  semata-mata begitu luas sehingga disebut juga sebagai satu cara hidup, satu sistem hidup yang teratur, bukan hanya dari sudut fizikal semata bahkan dari sudut metafizik yang gagal dicerapi oleh panca indera manusia. Persoalan pahala, dosa, berkat dan sebagainya merupakan elemen-elemen yang wujud bersama dalam konsep Islam sebagai sistem kehidupan. Justeru sebagai sistem hidup, maka Islam begitu adil dalam meletak-dudukkan sesuatu perkara. Golongan miskin punya harga dalam Islam, golongan kaya punya manfaat juga untuk Islam. Islam tidak melarang pencarian harta kekayaan semahu-mahunya asal Tuhan yang Esa tidak diabaikan, mereka yang berjiran tidak disisihkan. Terdapat sejumlah ayat dalam Al-Quran yang benar-benar berbunyi progresif yang berfungsi memacu jiwa dan menggerakkan sekaligus menggalakkan  manusia berubah dari satu tahap ke tahap yang lebih baik, baik dari sudut ibadahnya, akhlaknya hinggakan persoalan harta kekayaan. 
Namun pada yang sama Islam meletakkan mekanisme yang cukup harmoni dalam menjalinkan ukhuwwah antara golongan atasan dan bawahan. Golongan kaya tidak mestinya Mustakbirin, tetapi golongan miskin selalu cenderung menjadi Mustadh'afin. Maka Islam menjadikan zakat, derma, sedekah, wakaf, baitul mal dan sebagainya sebagai satu langkah untuk menjadikan golongan kaya atau atasan senantiasa beringat bahawa kewajipan mereka adalah besar, sebesar kekayaan yang dimilikinya. Disinilah wujudnya keberkatan yang akhirnya menjuruskan keharmonian manusia dalam meneruskan kehidupan secara bermasyarakat. Yang miskin dan sederhana tidak memusuhi dan hasad kepada yang kaya dan yang kaya mengasihi pula mereka yang miskin.
Kelompok Mustadh'afin ini akhirnya harus disedarkan. Kelompok manusia yang melalui pencerahan jiwa dan roh perjuangannya harus memimpin golongan ini daripada terus dibelenggu dengan lingkaran kejahilan terutamanya seterusnya memandu mereka terus memperjuangkan hak asasi mereka. Ketika ini bukan lagi detik untuk kita terus menuding jari atau bercakap seolah-olah kita tidak punyai apa-apa peranan dalam hidup ini. Setiap antara kita yang merupakan umat Islam dan menuntut ilmu bererti terbeban atas bahunya segalas perjuangan untuk kembali mengukuhkan pegangan agama lantas menumbangkan kefasadan yang sudah melata sejak sekin lama. Gerbang merdeka yang dilalui oleh rakyat Malaysia seharusnya sudah memampukan untuk sekalian kita bergerak dalam menghapuskan kejahilan ilmu dan menghalau anasir miskin dan papa yang mampu menyentap masyarakat ke kancah kekufuran. Justeru Nabi Muhammad S.A.W bersabda bahawa kemiskinan mendekati kepada kekufuran maka amat wajar untuk kita bersama mengekang diri dari menghampiri kepada kemiskinan. Kemiskinan ini tidak semata-mata dalam bentuk material namun lebih utama adalah kemiskinan ilmu pengetahuan dan iman. Barangkali inilah kemiskinan yang lebih logik dan wajar untuk kita selami dan jauhi justeru begitu ramai ilmuwan Islam terdahulu yang miskin hartanya namun gencar menyelamatkan umat Islam dari kerosakan aqidah dan kejahilan.
Golongan penyelamat ini tidak semestinya perlu ramai untuk bergerak dalam masyarakat bahkan mencukupi bagi mereka yang benar-benar punyai jiwa yang aktivis dan idealisme yang tahan diuji. Tak lapuk dek hujan, lekang dek panas. Beginilah tubuh-tubuh dan pemikiran penggerak dakwah yang sangat diperlukan dalam Islam. Budaya Touch & Go bukan lagi budaya yang harus dijadikan sandaran. Ini budaya politik lapuk dan bacul. Bacul kerana tidak berani hidup bersama masyarakat, lapuk kerana semua sudah muak dengan gaya budaya begini. 
Sekarang adalah zaman kompetensi idea dan gerak kerja. Siapa yang lambat, beliau terus diabaikan. Maka Islam mesti diperjuangkan melepasi batasan masjid, surau dan segalanya. Islam sedang bersaing dalam segenap segi kehidupan manusia moden. Sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, politik, sehinggalah kepada siapa yang sampai dahulu dalam menyelami isi hati masyarakat yang rata-ratanya bergelar Mustadh'afin. Begitu luasnya dakwah sehingga para pendakwah perlu terus berkreatif dalam membina rangka kerja yang lebih lebar dan kukuh.

Pembentang: Mohd Arif Juhani Abdul Rahman (ABABIL)
Komentar   : Encik Mohamad Abdullah (Pendaftar USM)
                    Asti Toba (UNGGAS)
                    Nurfitri Amir Muhammad (UNGGAS)
            
Sabar menanti kehadiran ahli wacana yang lain sambil membuat sedikit persediaan.

Asti memberi komentar berdasarkan realiti yang berlaku di Sabah tentang gerakan Missionary dalam memenangi hati penduduk

No comments:

Post a Comment