Thursday, October 7, 2010

Memimpin Mustadh'afin, Menentang Mustakbirin


Mustadh'afin, Golongan yang senantiasa wujud dalam sejarah peradaban manusia. Justeru kewujudan golongan inilah maka para nabi dan revolusioner didatangkan dalam liku-liku kancah konflik yang penuh bersejarah untuk memimpin golongan ini daripada terus diperhambakan antara sesama manusia. 

Mustadh'afin punya antonimnya yakni Mustakbirin yang terciri segala kejahatan dan kefasadan dalam ideologi yang digagaskan oleh mereka. 

Selagi manusia wujud atas muka bumi ini maka selagi itulah episod pertembungan antara dua kelompok ini akan terus berlanjutan sehinggalah hari kiamat dimana tatkala itu manusia itu semuanya sama, diadili dengan mizan Ilahi yang penuh keadilan bagi menghukum mereka yang bersalah dan berdosa. 

Menyelamatkan Mustadh'afin bererti meneruskan gerak kerja para Nabi, menumbangkan Mustakbirin bererti menyelamatkan nilai-nilai kemanusiaan yang cuba dirosak hancurkan oleh Mustakbirin demi melindungi dan meneruskan siri kefasadan mereka yang penuh keangkuhan, kelicikan dan kesyaitanan. 

Demi meneruskan kefahaman para aktivis-dai'e-revolusioner yang senantiasa berada pada sisi Mustadh'afin, maka, insya-Allah pada minggu hadapan, 13hb Oktober 2010 (Rabu), siri wacana Bedah Buku USM (BBU) yang bertempat di Anjung Semarak, USM, akan menelaah buku Mustadh’afin: Golongan yang Tertindas, hasil pemikiran sasterawan-aktivis-da’ie-pemikir dan penganalisis sosial, Cikgu Azizi Abdullah (CAP). 

Semua yang berminat dijemput hadir bagi menyumbangkan idea dan solusi demi menyelamatkan nilai peradaban dan kemanusiaan daripada dirobek rakus oleh sang Mustakbirin selain untuk bersama berkongsi rasa dan nilai dengan kelompok Mustadh’afin dalam paparan buku tersebut.

1 comment:

  1. Tahniah, satu usaha yang sangat baik. Membaca buku bermakna kita berusaha memahami banyak hal yang berlaku sekitar kita, jiwa kita dan dunia seluruhnya. Maaf jua kerana tidak sedar adanya usaha ini yang dimaklumkan telah berlangsung sejak tiga tahun lalu. Sekalung tahniah dan teruslah untuk "membedah" lebih banyak buku. Saya cadang elok juga sesekali bincang buku-buku terbaru tentang pengajian tinggi sebagai input yang lebih luas. Antaranya buku The Heart of Higher Education oleh Prof. Parker Palmer dan Prof. Arthur Zajonc yang mencadangkan agar pengajian tinggi dilihat dalam sisi yang lebih holistik. Juga buku kegemaran saya, Thomas Friedman, Longitudes and Attitudes Exploring The World Before and after September 11 yang walau pun "bias" lebih memahamkan kita tentang umat Islam dipandang rendah di mata "mereka".

    ReplyDelete