Friday, January 14, 2011

USRAH MUROBBI BBU BERSAMA ANGKATAN PEMUDA PEMUDI ISLAM (API) - (siri 1)

RISALAH UNTUK KAUM MUSLIMIN by Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas

 

Buku ini adalah catatan kata lisan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di UKM sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti itu. Di dalamnya terumus renungan mendalam pengarangnya berkenaan faham-faham utama dalam pandangan hidup Islam yang perlu diketahui oleh kaum Muslimin. Konsep-konsep penting yang dibicarakan merangkum faham agama, keadilan, ilmu, kebudayaan, kebebasan, akhlak, perubahan, pembangunan, kemajuan, kerasulan, bahasa, pengislaman, kesusasteraan, kesenian, tragedi, akal dan pensekularan.

Sedang Kaum Muslimin di merata dunia menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang semakin meruncing, Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan Profesor al-Attas yang cukup berdaya-asli dalam maksud membimbing Kaum Muslimin ke jalan yang benar. Sebab utama terjadinya keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini, menurut beliau, adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri mengenai Islam secara yang menyeluruh. Iaitu, Islam sebagai agama yang sebenarnya yang mampu melahirkan peradaban yang luhur lagi agung, yang mampu menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang tiada taranya dalam sejarah manusia. Kejahilan mengenai Islam itulah yang telah melenyapkan kesedaran akan tanggungjawab individu dan kaum Muslimin terhadap amanah ilmu dan akhlak, dan seterusnya memerangkap mereka dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu dan penyelewengan amal, hingga mereka terus terbelenggu pada rantai penjajahan pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masakini.

DISKUSI BBU BERSAMA API DALAM USRAH MUROBBI
Pada permulaan diskusi sahaja kami telah diajukan soalan ‘warm up’; “Apakah makna Islam bagi kaum muslimin pada zaman ini selari dengan makna sebenar-benarnya muslim?” Jika “YA”, adakah masyarakat Islam zaman ini mengamalkan dasar Islam? Makanya, tidakkah Islam perlu alami transformasi atau perubahan? Jika jawapannya “TIDAK”, mengapa tetap ramai yang menuntut perubahan? 
Islam adalah agama yang paling tinggi dan tidak ada agama yang lebih tinggi darjatnya dari Islam
TAPI KENAPA???
orang mukmin adalah glongan yang paling rendah dan tidak ada yang lebih rendah dari golongan mukmin
Bangsa melayu menjuarai dalam semua perkara-perkara negatif; masalah gejala sosial, buang anak, dadah, homeless. Manakala disebelahnya, Barat menjuarai pembangunan dan kebangkitan. Perkara sebeginilah yang menolak orang non-muslim untuk menerima dan mendalami Islam, bahkan umat Islam sendiri malu mengaku dirinya Islam.Adakah puncanya kerana kita terlalu bergantung kepada takdir? Adakah kerana hujah-hujah ilmu dan teknologi menggugat kepercayaan umat terhadap Islam? Apabila timbul banyak persoalan sebegini, menunjukkan diri kita sendiri keliru, sehingga kita merasakan begitu buruk nasib kita dalam Islam.

Bayangan bahawa mukmin golongan paling rendah kerana 'starting point'nya saja sudah lemah, ramai diantara kita takut untuk mencabar diri, belum bertempur sudah malu mengaku diri sebagai Islam, terlalu banyak pandangan negatif pada diri sendiri. Ditambah pula dengan sikap ego dalam meneroka ilmu Allah dan imannya lemah.

Memetik sekilas bait-bait dari sajak Iqbal; "peliknya orang muslim ini, sedang dia diuji, dia tetap tenang". Tentu saja kita pernah teruji dengan kewangan, kawan dan perjuangan, ketika itu iman kita sedang diuji, dan ketika ini lah masa terbaik untuk kita sukat tahap iman kita.

Islam itu asalnya suci dan selamanya suci, tidak berubah dan tidak ada tokok tambahnya, tapi kaum muslimin yang menjadi wajah zahir Islam tersebut. Muslimin ini pula tidak selalunya 'suci' seperti mana untuk mencerminkan Islam. Kita adalah pandangan zahir Islam.

Sedihnya, jika kita lihat apa yang berlaku kini, Islam itu diiklanburukkan oleh muslimin itu sendiri. Kita diumpamakan seperti cermin yang memantulkan sinar Islam, tapi persoalannya, kita ini jenis cermin yang bagaimana sifatnya? Jika Islam itu diibaratkan sebagai cahaya matahari, dan kita cermin yang memantulkan imej, dan pada satu ketika imej yang dipantulkan buruk, apa yang perlu dipersalahkan? cahaya matahari itu atau cermin? jawapanya jelas, namun ramai yang masih meletakkan salah itu kepada cahaya matahari, sehingga ada yang pertikaikan apa yang diajar dalam Islam, menggesa perubahan terhadap Islam, ubah sistem dalam Islam, hukum hudud dan sebagainya.

PENGGULUNGAN PEMBENTANG;
surah Al-Baqarah : 13;
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Banggalah dengan Islam yang ada dalam diri kita. jadilah cermin yang hebat memantulkan cahaya Islam. 

INFO  
ulasan bedah buku "risalah untuk kaum muslimin" ini akan didiskusikan sambungannya pada setiap hari selasa (minggu kedua setiap bulan), jam 8.30malam bertempat di Serambi Dakwah, Bagan Lalang. Sebarang info mengenai usrah bedah buku ini akan diupdate di FB- Bedah Buku USM.

UMAT ISLAM TERHINA! KENAPA?

Umat Islam Terhina! Kenapa?


Terbitan Utusan – Cetakan Pertama 2009.

Karya – Zainal Jain & Siti Meriam Yusof

p/s kepada warga USM:  buku ini boleh didapati di Book Garden, USM. 

Pembentang – Saudara Zahari Bin Bakar (12/1/11 - 17:30)


INTIPATI DISKUSI BEDAH BUKU “UMAT ISLAM TERHINA! KENAPA?”

Pengulas membawa audians menyusuli satu persatu bab yang dibincangkan dalam buku tersebut secara ringkas. Dimana dalam bab pertama memberi gambaran realitinya kebanyakan manusia tidak faham apa sebenarnya kehidupan; kehidupan seorang muslimin yang bertaqwa kepada Allah. 

Diskusi dilanjutkan kepada perbincangan Alam Kehidupan Manusia.
  • Alam Roh – tempohnya hanya Allah yang tahu. Setiap roh pada asalnya adalah Islam dan akan hanya taat pada Allah.
  • Alam Rahim – asalnya roh itu suci, yang membentuknya bergantung kepada rahim yang mana roh itu ditempatkan.
  • Alam Dunia – dimana kita berada sekarang, yang hakikatnya hanya sementara.
  • Alam Barzakh – alam yang boleh jadi lama, dan mungkin juga boleh menjadi sangat sekejap bergantung kepada amalan kita.
  • Alam mahsyar – ketika ini manusia akan dibangkitkan dalam perbagai rupa bergantung kepada amal masing-masing.
  • Alam pembalasan – samaada di syurga atau neraka.
Dalam melalui alam-alam ini, manusia sentiasa melangkah kehadapan, dan alam yang paling ramai meninggalkannya dalam seribu penyesalan adalah alam dunia.
Relevannya pembawakan bab pertama dan kedua adalah supaya kita dapat memahami hakikat kejadian, menyedari siapa pemilik kita dan tahu tanggungjawab setiap manusia.


Kedudukan Umat Islam Masa Kini

 Nabi SAW bersabda:
 Maksudnya: "Hampir tiba masanya bahawa kamu akan dikeronyok oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu) sebagai mana orang-orang menghadapi hidangan di majlis jamuan. Seorang sahabat bertanya: apakah kerana ketika itu bilangan kami sedikit?. Rasulullah SAW menjawab; bahkan bilangan kamu di waktu itu banyak, tapi kamu tak ubah seperti buih-buih di permukaan air sewaktu musim banjir. Allah akan mencabutkan rasa ketakutan daripada hati musuh-musuh kamu dan sebaliknya di masukkan kedalam hati kamu penyakit "AL WAHAN". Seorang sahabat bertanya; Ya Rasulullah SAW apakah Al Wahan itu?. Jawab Rasulullah SAW; ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut. " (Hadis riwayat Abu Daud daripada Sauban)

Ramai umat Islam sekarang digugat dengan panahan Al Wahan; punca yang nyata bersandar pada 3-TA; harTA, waniTA dan tahTA. Jelaslah bencana-bencana alam yang berlaku sekarang adalah kerana tangan-tangan manusia sendiri. Kerana itulah perkara asas yang pertama sekali diterapkan dalam Islam adalah aspek aqidah.

Mengapa Umat Islam Mundur?
Faktor utama dan terpenting mengapa umat Islam lemah hari ini ialah lemahnya keyakinan kepada Rukun Islam yang pertama iaitu pengakuan Syahadah. Jurang yang besar perbezaan antara percaya dan yakin. Yakin menuntut kepada peramalan yang berterusan. Adakah selama ini kita hidup dengan beramalkan rukun islam dan perjanjian kita dengan Allah? Jawapannya akan merungkai persoalan mengapa umat islam dipandang hina dan mundur.

PENGGULUNGAN PEMBENTANG;
Sebagai umat islam yang sering diperkatakan mundur perlu mula mengorak langkah bagi mencabar atmosfera yang membelenggu diri kita sekarang ini. antaranya dengan perbanyakkan ilmu, menambahbaik kelompngan aqidah. Kita perlu sentiasa ada ‘peringatan’, maksudnya perlu rajin ke majlis-majlis ilmu, perbanyakkan bacaan dan hadam hadis-hadis, kerana kita tahu, hadis-hadis ini ibarat nur pada hati-hati kita. Jika baik hati itu, maka baiklah seluruhnya. Langkah pertamanya, bermula dengan diri kita sendiri.



Friday, January 7, 2011

BUDAYA ILMU VS BUDAYA MEMBACA

Dari bermulanya budaya ilmu diperkenalkan di Negara kita, tercetusnya idea bedah buku yang kini sedang cuba dikonsistankan pada setiap hari rabu, jam 5.30 petang bertempat di Anjung Semarak, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pemilihan buku berjudul Budaya Ilmu Satu Penjelasan karya Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, sebagai pembuka wacana Bedah Buku  USM (BBU) tahun 2011.  



Tajuk Buku : "Budaya Ilmu Satu Penjelasan"

Penulis : Wan Mohd. Nor Wan Daud

Pembentang : Saudara 'Izzat Anwari

Lokasi : cafe Anjung Semarak, USM. 

Info : buku ini boleh didapati di Book Garden, USM PP.


Mengenai penulis buku Budaya Ilmu Satu Penjelasan

Prof Wan Mohd Nor Wan Daud seorang penulis yang sangat kritis dalam mengutarakan sesuatu hujah, tetapi tetap meletakkan nilai hormat dalam setiap penilaian beliau. Beliau juga merupakan seorang perintis institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) atau seorang ahli falsafah, pentadbir, aktivis islam dan penyair yang cukup dikenali ramai. Atas keperibadian yang sangat mencintai ilmu, ilmu-ilmu yang dimiliki tidak disia-siakan justeru kecintaan terhadap ilmu yang mendalam ini, beliau telah menghasilkan 11 buku dan monograf serta berpuluh-puluh makalah dalam jurnal tempatan dan antarabangsa. Jelasnya terbukti bukunya telah diterjemahkan dalam banyak bahasa.

Intipati diskusi BBU

Budaya ilmu mula diperkenalkan sejak awal tahun 1980an, bermulanya dengan tema “Guru Pengasas Budaya Ilmu”. Multimedia mula mengambil langkah proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang  menggalakkan amalan membaca. Tetapi sayangnya, impak yang kita lihat hari ini tidak mencapai sasaran yang diharapkan. Persoalan yang timbul adakah budaya membaca dapat melahirkan generasi berilmu? Apa beza budaya membaca dengan budaya ilmu? 

Akhbar-akhbar tempatan pada bulan Mac 2010 melaporkan budaya membaca semakin meningkat. Kajian mendapati rakyat Malaysia kini membaca purata 8 hingga 12 buah buku setahun berbanding hanya 2 buah buku kira-kira tiga tahun lalu. Jumlah jualan buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2009 pula mencatatkan RM27 juta berbanding RM22 juta pada 2008. Tapi, pernahkan kita terfikir, berapa banyak buku-buku ilmiah yang mampu terjual berbanding buku-buku dan majalah-majalah picisan yang jualannya melambung tinggi di pasaran. Bahayanya buku-buku dan majalah-majalah picisan ini boleh memberi pengaruh buruk pada pembacanya, mempengaruhi minda dan mentaliti pembaca. 

Jika kita mampu lihat perbandingan budaya ilmu dengan budaya membaca, hebatnya budaya ilmu bilamana budaya ilmu ini mampu mewujudkan diskusi, sama ada diskusi ringkas, mahupun diskusi yang berat. Ini jugalah yang sering kali diterapkan dalam pemilihan buku-buku yang dibedah oleh BBU sendiri. Menurut Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, dalam dunia ini, perkara paling penting adalah ILMU, bukan islam, mahupun iman. Menampung hujah tersebut, islam dan iman akan rosak bila kedua-duanya tidak bersandarkan ilmu. 

Ilmu merupakan sandaran yang paling kukuh walaupun kita hanya memperkatakan tentang ekonomi dan ketenteraan. Sepertimana yang diterangkan dalam buku berjudul ‘the rise and fall of the great powers’ – Economic Change and Military Conflict from 1500 to 2000. Jatuh bangunnya sesebuah negara bergantung pada ILMU, sejauhmana ilmu itu diamalkan dan diletakkan di tempat yang betul. 

 
“The "military conflict" referred to in the book's subtitle is therefore always examined in the context of "economic change." The triumph of any one Great Power in this period, or the collapse of another, has usually been the consequence of lengthy fighting by its armed forces; but it has also been the consequences of the more or less efficient utilization of the state's productive economic resources in wartime, and, further in the background, of the way in which that state's economy had been rising or falling, relative to the other leading nations, in the decades preceding the actual conflict. For that reason, how a Great Power's position steadily alters in peacetime is as important to this study as how it fights in wartime.”

Sebagai pembaca, kita perlu bijak dalam pemilihan buku dan bahan bacaan, supaya ilmu yang diperoleh bukanlah ilmu-ilmu yang ‘ceroi’ dan tidak mampu mencabar minda. Tanda aras untuk tingkatkan ilmu, dengan perbanyakkan baca bahan-bahan bacaan yang berat, sehingga mampu mencabar tahap pemikiran kita, “untuk memecahkan kod masalah, kita perlu berfikir mengatasi minda pencipta kod mesalah tersebut”. Namun, dalam menuntut ilmu ibarat kuantiti garam dan tepung dalam suatu acuan roti, dimana garamnya adalah ilmu dan tepungnya adalah adab. Lebihnya garam dari tepung hanya akan merosakkan acuan. 

Tafaqquh Fiddin merujuk kepada mereka yang memahami selok belok agama, mendalami ilmu, dan selanjutnya berdasarkan kefahaman itulah mereka beramal. Ternyata, sesuatu perkara yang kita peroleh dari bahan bacaan tidak mampu menjadi suatu ilmu berguna jika kita gagal menterjemahkanya dalam bentuk tindakan, sehingga membuktikan bahawa satu buku mampu menggegar dunia. 

Rasulullah bersabda yang maksudnya “jika kita hendak berjaya didunia mestilah dengan ilmu, nak berjaya di akhirat mesti dengan ilmu dan nak berjaya dunia dan akhirat juga perlu dengan ilmu” . Inilah apa yang kita panggil sebagai the power of knowledge.

Buku yang turut dicadangkan untuk dibaca;


Judul : Muqaddimah
Penulis : Abd-ar-Rahman ibn Muhammad Ibn Khaldun (Ibnu Khaldun)






Thursday, October 21, 2010

Iqbal Berbicara Tentang Cinta dan Diri

Dua unsur yang menjadi gagasan kepada pokok pemikiran Iqbal ialah diri (khaudi) dan cinta (ishq). Nilai tersebut diambil dari keperibadian agung Nabi Muhammad S.A.W. Beliau terus berkelana dan tenggelam dalam penuh kesyahduan mendalami makna hakikat diri dan kepatuhan kepada Allah Ta'ala. Sekurang-kurangnya itulah antara inti yang terkandung dalam karyanya-Asrar-i-Khudi atau Rahsia-rahsia Diri yang menjadi bahan pemikiran dan perbincangan dalam wacana semalam.
Brother Nizam Mahshar bermula dengan menyentak akal khalayak tentang kepentingan membaca. Untuk membangun diri, membentuk keluarga, meninggikan syiar Islam, dan menggerakkan perjuangan atas lapangan. Semuanya bermula kepada satu yakni kefahaman yang benar terhadap hakikat kehidupan, kehambaan dan ketuhanan yang layak disembah dan dipatuhi segala titah perintah-NYA. Semua itu bermula dengan satu pula yakni dengan membaca-sebuah perintah awal sejurus Jibrail datang bertemu Baginda S.A.W.
Membaca itu satu hal tetapi memilih bahan bacaan itu pula satu hal kritikal yang tidak boleh tidak mesti diteliti dengan kritis. Teringat saya dengan pesan Tuan Guru Haji Hadi berkenaan bahan bacaan yang terbaik yang mesti dibaca ialah karya yang penulisnya sudah berkecimpung lama dengan perjuangan tersebut. Maka secara sepintas lalu, Asrar-i-Khudi sememangnya buku yang tepat untuk dibaca dan dihadam dengan kemas oleh para pembaca terutamanya mahasiswa-mahasiswi, 'amilin dan du'at, hinggalah kepada pendiri negara bahkan Iqbal sendiri merupakan ideologue kepada penubuhan negara Pakistan. Penyair-pejungga-pemikir-ahli falsafah ini lahir dan menjalani kehidupan tatkala kolonialisme Barat rakus menjarah tanah-tanah yang dijajahnya. Seperti Malek Ben Nabi, beliau menggagas pemikiran yang memukau untuk menggerakkan nadi dan mengarahkan tenaga umat untuk meraih sendiri kemerdekaan untuk diri, kemerdekaan yang abadi bahkan yang harmoni. Meletakkan diri serendah sebutir zahar, berani menggapai bahkan mendakwa bahawa matahari adalah miliknya. Iqbal bercakap tentang kebenaran yang hakiki, sedang pada masa yang sama pemikiran Pasca-moden mengalih kebenaran sebagai sesuatu yang relatif-semua benar, mungkin juga semua salah. Walhal bagi Iqbal, kebenaran Islam harus berasaskan kepada kesedaran individu yang akan menjadi dasar kepada kekuatan kolektif. Ia harus dimulai dari pengalaman manusia yang secara keseluruhannya bersumberkan Tuhan. Iqbal secara gagah mendakwahkan bahawa hanya Islam punyai jalan untuk membolehkan seseorang dapat menemukan keunikan dan kesejagatannya.
Iqbal menulis juga tentang keperluan membetulkan kefahaman yang asli mengenai Islam dan hal ini terlakar dalam karyanya The Reconstruction of Religious Thought in Islam-himpunan syarahan beliau mengenai Falsafah Islam. Keperluan membetulkan kefahaman ini begitu penting justeru beliau menganggarkan tamadun moden-barat kontemporari gagal memberi kemakmuran dan keharmonian untuk umat manusia seluruhnya seperti yang terlakar dalam puisinya

Percayalah dengan ucapan saya,
Eropah pada masa sekarang merupakan 
penghalang besar bagi kemajuan moral 
umat manusia.

Thursday, October 14, 2010

Memahami Mustadh'afin, Mengukuhkan Perjuangan Pembebasan.

Semalam, 13 Oktober 2010, sekali lagi wacana bedah buku (wbb) berjaya digerakkan. Kali ini pemikiran para peserta dicanaikan pula dengan memahami apa itu Mustadh'afin sekaligus memaknai kewujudan golongan ini dalam siri perjuangan aktivisme yang punyai idealisme yang ampuh dalam memberi sinar cahaya kepada golongan ini, yang senantiasa dalam kekelabuan dalam mencari nikmat sebenar sebuah kehidupan. Dalam golongan ini pula pastinya wujud mereka yang beriman dan beramal soleh namun ini semua harus diteruskan bahkan dibantu oleh manusia yang punyai akal intelek yang tinggi dengan memperjuangkan hak-hak yang sewajarnya mereka peroleh justeru atas nama kemanusiaan. Namun demikianlah rencana kehidupan yang penuh rencam, apatah lagi dalam senario kehidupan ketika ini. Badai globalisasi akhirnya mewujudkan pula Mustakbirin yang rakus dan perampas dalam wajah yang sangat pelbagai dan berbeza pula bentuk kemunafikan gerak kerja yang didokongi mereka. Namun, yang pasti kefasadan ini dialirkan kepada satu matlamat yang sama yakni kuasa politik harus bertambah kukuh, kemewahan harus terus bertambah. Kegilaan yang dahsyat ini telah membutakan mata mereka untuk menilai manusia atas dasar kemanusiaan. Bila disebut atas dasar kemanusiaan maka layanannya harus seperti manusia. Makan, pakai dan tempat tinggal mereka harus terurus bahkan upah atau ganjaran atas kerja dan khidmat yang mereka lakukan harus pula setimpal dengan curahan keringat saban hari. 
Mari kita kembangkan lagi pandangan sarwa kita mengenai Mustadh'afin ini. Jika sebelum ini kita dihadapkan pengertian Mustadh'afin ini dengan dicirikan oleh mereka yang memiliki wajah-wajah yang comot, kusam, selekeh, jahil, kotor dan yang seertinya dengannya. Maka ketika ini Mustadh'afin itu barangkali sekarang sedang menginap dalam mahligai yang serba indah, meluncur di jalan dengan kecanggihan kereta, tubuh tersarung dengan tenunan yang halus dan seni. Mereka boleh terkelompok dalam golongan Mustadh'afin jika gagal memaknai kehidupan ini atas landasan yang benar. Mereka menjadi Mustadh'afin yang mana Mustakbirinnya adalah hawa nafsu mereka sendiri. Inilah yang Allah sebutkan sebagai golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Maka,  mereka ini juga perlu dibantu dan diberikan pengetahuan yang sewajarnya. Namun dek kerana mereka ini Mustadh'afin yang degil dan buta mata hatinya maka mereka pula menjadi Mustakbirin kepada golongan bawahan.
Islam, sebuah agama yang melampaui daripada pengertian amalan ritual  semata-mata begitu luas sehingga disebut juga sebagai satu cara hidup, satu sistem hidup yang teratur, bukan hanya dari sudut fizikal semata bahkan dari sudut metafizik yang gagal dicerapi oleh panca indera manusia. Persoalan pahala, dosa, berkat dan sebagainya merupakan elemen-elemen yang wujud bersama dalam konsep Islam sebagai sistem kehidupan. Justeru sebagai sistem hidup, maka Islam begitu adil dalam meletak-dudukkan sesuatu perkara. Golongan miskin punya harga dalam Islam, golongan kaya punya manfaat juga untuk Islam. Islam tidak melarang pencarian harta kekayaan semahu-mahunya asal Tuhan yang Esa tidak diabaikan, mereka yang berjiran tidak disisihkan. Terdapat sejumlah ayat dalam Al-Quran yang benar-benar berbunyi progresif yang berfungsi memacu jiwa dan menggerakkan sekaligus menggalakkan  manusia berubah dari satu tahap ke tahap yang lebih baik, baik dari sudut ibadahnya, akhlaknya hinggakan persoalan harta kekayaan. 
Namun pada yang sama Islam meletakkan mekanisme yang cukup harmoni dalam menjalinkan ukhuwwah antara golongan atasan dan bawahan. Golongan kaya tidak mestinya Mustakbirin, tetapi golongan miskin selalu cenderung menjadi Mustadh'afin. Maka Islam menjadikan zakat, derma, sedekah, wakaf, baitul mal dan sebagainya sebagai satu langkah untuk menjadikan golongan kaya atau atasan senantiasa beringat bahawa kewajipan mereka adalah besar, sebesar kekayaan yang dimilikinya. Disinilah wujudnya keberkatan yang akhirnya menjuruskan keharmonian manusia dalam meneruskan kehidupan secara bermasyarakat. Yang miskin dan sederhana tidak memusuhi dan hasad kepada yang kaya dan yang kaya mengasihi pula mereka yang miskin.
Kelompok Mustadh'afin ini akhirnya harus disedarkan. Kelompok manusia yang melalui pencerahan jiwa dan roh perjuangannya harus memimpin golongan ini daripada terus dibelenggu dengan lingkaran kejahilan terutamanya seterusnya memandu mereka terus memperjuangkan hak asasi mereka. Ketika ini bukan lagi detik untuk kita terus menuding jari atau bercakap seolah-olah kita tidak punyai apa-apa peranan dalam hidup ini. Setiap antara kita yang merupakan umat Islam dan menuntut ilmu bererti terbeban atas bahunya segalas perjuangan untuk kembali mengukuhkan pegangan agama lantas menumbangkan kefasadan yang sudah melata sejak sekin lama. Gerbang merdeka yang dilalui oleh rakyat Malaysia seharusnya sudah memampukan untuk sekalian kita bergerak dalam menghapuskan kejahilan ilmu dan menghalau anasir miskin dan papa yang mampu menyentap masyarakat ke kancah kekufuran. Justeru Nabi Muhammad S.A.W bersabda bahawa kemiskinan mendekati kepada kekufuran maka amat wajar untuk kita bersama mengekang diri dari menghampiri kepada kemiskinan. Kemiskinan ini tidak semata-mata dalam bentuk material namun lebih utama adalah kemiskinan ilmu pengetahuan dan iman. Barangkali inilah kemiskinan yang lebih logik dan wajar untuk kita selami dan jauhi justeru begitu ramai ilmuwan Islam terdahulu yang miskin hartanya namun gencar menyelamatkan umat Islam dari kerosakan aqidah dan kejahilan.
Golongan penyelamat ini tidak semestinya perlu ramai untuk bergerak dalam masyarakat bahkan mencukupi bagi mereka yang benar-benar punyai jiwa yang aktivis dan idealisme yang tahan diuji. Tak lapuk dek hujan, lekang dek panas. Beginilah tubuh-tubuh dan pemikiran penggerak dakwah yang sangat diperlukan dalam Islam. Budaya Touch & Go bukan lagi budaya yang harus dijadikan sandaran. Ini budaya politik lapuk dan bacul. Bacul kerana tidak berani hidup bersama masyarakat, lapuk kerana semua sudah muak dengan gaya budaya begini. 
Sekarang adalah zaman kompetensi idea dan gerak kerja. Siapa yang lambat, beliau terus diabaikan. Maka Islam mesti diperjuangkan melepasi batasan masjid, surau dan segalanya. Islam sedang bersaing dalam segenap segi kehidupan manusia moden. Sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, politik, sehinggalah kepada siapa yang sampai dahulu dalam menyelami isi hati masyarakat yang rata-ratanya bergelar Mustadh'afin. Begitu luasnya dakwah sehingga para pendakwah perlu terus berkreatif dalam membina rangka kerja yang lebih lebar dan kukuh.

Pembentang: Mohd Arif Juhani Abdul Rahman (ABABIL)
Komentar   : Encik Mohamad Abdullah (Pendaftar USM)
                    Asti Toba (UNGGAS)
                    Nurfitri Amir Muhammad (UNGGAS)
            
Sabar menanti kehadiran ahli wacana yang lain sambil membuat sedikit persediaan.

Asti memberi komentar berdasarkan realiti yang berlaku di Sabah tentang gerakan Missionary dalam memenangi hati penduduk

Saturday, October 9, 2010

Jaringan Untuk Maklumat Berkaitan Perjuangan Muslim Patani

Assalamu'alaikum w.b.t

Berikut disertakan tiga link bagi memudahkan anda untuk mendapat maklumat lebih lanjut yang berkaitan dengan bedah buku "Perjuangan Muslim Patani" iaitu:


1. Blog amanpatani. klik disini.
2. FB ustaz Kamaruddin Kassim. klik disini.
3. FB patani fakta dan opini. klik disini.

Perpustakaan Persatuan Ulama Malaysia, Pulau Pinang (PUMPP)

Alhamdulillah, melalui iltizam untuk merangka, mengisi dan menggerakkan tenaga-tenaga aktivis-da'ie-revolusioner yang mana tenaga-tenaga inilah yang akan memimpin dan mendidik umat sekaligus menumbangkan kefasadan yang melata sepanjang masa, maka, PUMPP melalui Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) bertindak membina perpustakaan untuk mengasah minda dan jiwa selain membentuk suasana intelektual dalam gerak kerja seharian staff PUMPP di pejabat Serambi Dakwah. Setakat ini PUMPP memiliki sejumlah koleksi buku yang diperoleh melalui sumbangan beberapa syarikat penerbitan seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) Berhad, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PTS Publications, Utusan Publications and Publishers dan beberapa lagi.


Justeru masih awal fasa penubuhannya maka koleksi perpustakaan amatlah terhad baik bilangan buku mahupun bidangnya. Oleh itu, PUMPP masih mengharapkan mana-mana syarikat penerbitan  dan orang ramai yang sudi untuk menyumbangkan apa juga bahan bacaan yang difikirkan sesuai. Bahan bacaan yang rosak dan cacat  yang ringan akan diperbaiki oleh PUMPP. Sumbangan wang ringgit juga amat dialu-alukan untuk menambahkan lagi kelancaran pengurusan perpustakaan. 

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Arif: 013-5045377 

Ruang bacaan yang selesa turut menjadi tempat mesyuarat PUMPP dan sebagainya.
Beberapa jilid majalah SABILI, majalah Islami paling popular di Indonesia,
yang diborong Nurfitri Amir ketika lawatan ke Indonesia yang lepas.
Koleksi buku yang masih terhad namun pelbagai.
Antara buku sumbangan UTM

Buku-buku aktivis sosial dan jurnal
Buku-buku sumbangan ITNM