Thursday, October 21, 2010

Iqbal Berbicara Tentang Cinta dan Diri

Dua unsur yang menjadi gagasan kepada pokok pemikiran Iqbal ialah diri (khaudi) dan cinta (ishq). Nilai tersebut diambil dari keperibadian agung Nabi Muhammad S.A.W. Beliau terus berkelana dan tenggelam dalam penuh kesyahduan mendalami makna hakikat diri dan kepatuhan kepada Allah Ta'ala. Sekurang-kurangnya itulah antara inti yang terkandung dalam karyanya-Asrar-i-Khudi atau Rahsia-rahsia Diri yang menjadi bahan pemikiran dan perbincangan dalam wacana semalam.
Brother Nizam Mahshar bermula dengan menyentak akal khalayak tentang kepentingan membaca. Untuk membangun diri, membentuk keluarga, meninggikan syiar Islam, dan menggerakkan perjuangan atas lapangan. Semuanya bermula kepada satu yakni kefahaman yang benar terhadap hakikat kehidupan, kehambaan dan ketuhanan yang layak disembah dan dipatuhi segala titah perintah-NYA. Semua itu bermula dengan satu pula yakni dengan membaca-sebuah perintah awal sejurus Jibrail datang bertemu Baginda S.A.W.
Membaca itu satu hal tetapi memilih bahan bacaan itu pula satu hal kritikal yang tidak boleh tidak mesti diteliti dengan kritis. Teringat saya dengan pesan Tuan Guru Haji Hadi berkenaan bahan bacaan yang terbaik yang mesti dibaca ialah karya yang penulisnya sudah berkecimpung lama dengan perjuangan tersebut. Maka secara sepintas lalu, Asrar-i-Khudi sememangnya buku yang tepat untuk dibaca dan dihadam dengan kemas oleh para pembaca terutamanya mahasiswa-mahasiswi, 'amilin dan du'at, hinggalah kepada pendiri negara bahkan Iqbal sendiri merupakan ideologue kepada penubuhan negara Pakistan. Penyair-pejungga-pemikir-ahli falsafah ini lahir dan menjalani kehidupan tatkala kolonialisme Barat rakus menjarah tanah-tanah yang dijajahnya. Seperti Malek Ben Nabi, beliau menggagas pemikiran yang memukau untuk menggerakkan nadi dan mengarahkan tenaga umat untuk meraih sendiri kemerdekaan untuk diri, kemerdekaan yang abadi bahkan yang harmoni. Meletakkan diri serendah sebutir zahar, berani menggapai bahkan mendakwa bahawa matahari adalah miliknya. Iqbal bercakap tentang kebenaran yang hakiki, sedang pada masa yang sama pemikiran Pasca-moden mengalih kebenaran sebagai sesuatu yang relatif-semua benar, mungkin juga semua salah. Walhal bagi Iqbal, kebenaran Islam harus berasaskan kepada kesedaran individu yang akan menjadi dasar kepada kekuatan kolektif. Ia harus dimulai dari pengalaman manusia yang secara keseluruhannya bersumberkan Tuhan. Iqbal secara gagah mendakwahkan bahawa hanya Islam punyai jalan untuk membolehkan seseorang dapat menemukan keunikan dan kesejagatannya.
Iqbal menulis juga tentang keperluan membetulkan kefahaman yang asli mengenai Islam dan hal ini terlakar dalam karyanya The Reconstruction of Religious Thought in Islam-himpunan syarahan beliau mengenai Falsafah Islam. Keperluan membetulkan kefahaman ini begitu penting justeru beliau menganggarkan tamadun moden-barat kontemporari gagal memberi kemakmuran dan keharmonian untuk umat manusia seluruhnya seperti yang terlakar dalam puisinya

Percayalah dengan ucapan saya,
Eropah pada masa sekarang merupakan 
penghalang besar bagi kemajuan moral 
umat manusia.

Thursday, October 14, 2010

Memahami Mustadh'afin, Mengukuhkan Perjuangan Pembebasan.

Semalam, 13 Oktober 2010, sekali lagi wacana bedah buku (wbb) berjaya digerakkan. Kali ini pemikiran para peserta dicanaikan pula dengan memahami apa itu Mustadh'afin sekaligus memaknai kewujudan golongan ini dalam siri perjuangan aktivisme yang punyai idealisme yang ampuh dalam memberi sinar cahaya kepada golongan ini, yang senantiasa dalam kekelabuan dalam mencari nikmat sebenar sebuah kehidupan. Dalam golongan ini pula pastinya wujud mereka yang beriman dan beramal soleh namun ini semua harus diteruskan bahkan dibantu oleh manusia yang punyai akal intelek yang tinggi dengan memperjuangkan hak-hak yang sewajarnya mereka peroleh justeru atas nama kemanusiaan. Namun demikianlah rencana kehidupan yang penuh rencam, apatah lagi dalam senario kehidupan ketika ini. Badai globalisasi akhirnya mewujudkan pula Mustakbirin yang rakus dan perampas dalam wajah yang sangat pelbagai dan berbeza pula bentuk kemunafikan gerak kerja yang didokongi mereka. Namun, yang pasti kefasadan ini dialirkan kepada satu matlamat yang sama yakni kuasa politik harus bertambah kukuh, kemewahan harus terus bertambah. Kegilaan yang dahsyat ini telah membutakan mata mereka untuk menilai manusia atas dasar kemanusiaan. Bila disebut atas dasar kemanusiaan maka layanannya harus seperti manusia. Makan, pakai dan tempat tinggal mereka harus terurus bahkan upah atau ganjaran atas kerja dan khidmat yang mereka lakukan harus pula setimpal dengan curahan keringat saban hari. 
Mari kita kembangkan lagi pandangan sarwa kita mengenai Mustadh'afin ini. Jika sebelum ini kita dihadapkan pengertian Mustadh'afin ini dengan dicirikan oleh mereka yang memiliki wajah-wajah yang comot, kusam, selekeh, jahil, kotor dan yang seertinya dengannya. Maka ketika ini Mustadh'afin itu barangkali sekarang sedang menginap dalam mahligai yang serba indah, meluncur di jalan dengan kecanggihan kereta, tubuh tersarung dengan tenunan yang halus dan seni. Mereka boleh terkelompok dalam golongan Mustadh'afin jika gagal memaknai kehidupan ini atas landasan yang benar. Mereka menjadi Mustadh'afin yang mana Mustakbirinnya adalah hawa nafsu mereka sendiri. Inilah yang Allah sebutkan sebagai golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Maka,  mereka ini juga perlu dibantu dan diberikan pengetahuan yang sewajarnya. Namun dek kerana mereka ini Mustadh'afin yang degil dan buta mata hatinya maka mereka pula menjadi Mustakbirin kepada golongan bawahan.
Islam, sebuah agama yang melampaui daripada pengertian amalan ritual  semata-mata begitu luas sehingga disebut juga sebagai satu cara hidup, satu sistem hidup yang teratur, bukan hanya dari sudut fizikal semata bahkan dari sudut metafizik yang gagal dicerapi oleh panca indera manusia. Persoalan pahala, dosa, berkat dan sebagainya merupakan elemen-elemen yang wujud bersama dalam konsep Islam sebagai sistem kehidupan. Justeru sebagai sistem hidup, maka Islam begitu adil dalam meletak-dudukkan sesuatu perkara. Golongan miskin punya harga dalam Islam, golongan kaya punya manfaat juga untuk Islam. Islam tidak melarang pencarian harta kekayaan semahu-mahunya asal Tuhan yang Esa tidak diabaikan, mereka yang berjiran tidak disisihkan. Terdapat sejumlah ayat dalam Al-Quran yang benar-benar berbunyi progresif yang berfungsi memacu jiwa dan menggerakkan sekaligus menggalakkan  manusia berubah dari satu tahap ke tahap yang lebih baik, baik dari sudut ibadahnya, akhlaknya hinggakan persoalan harta kekayaan. 
Namun pada yang sama Islam meletakkan mekanisme yang cukup harmoni dalam menjalinkan ukhuwwah antara golongan atasan dan bawahan. Golongan kaya tidak mestinya Mustakbirin, tetapi golongan miskin selalu cenderung menjadi Mustadh'afin. Maka Islam menjadikan zakat, derma, sedekah, wakaf, baitul mal dan sebagainya sebagai satu langkah untuk menjadikan golongan kaya atau atasan senantiasa beringat bahawa kewajipan mereka adalah besar, sebesar kekayaan yang dimilikinya. Disinilah wujudnya keberkatan yang akhirnya menjuruskan keharmonian manusia dalam meneruskan kehidupan secara bermasyarakat. Yang miskin dan sederhana tidak memusuhi dan hasad kepada yang kaya dan yang kaya mengasihi pula mereka yang miskin.
Kelompok Mustadh'afin ini akhirnya harus disedarkan. Kelompok manusia yang melalui pencerahan jiwa dan roh perjuangannya harus memimpin golongan ini daripada terus dibelenggu dengan lingkaran kejahilan terutamanya seterusnya memandu mereka terus memperjuangkan hak asasi mereka. Ketika ini bukan lagi detik untuk kita terus menuding jari atau bercakap seolah-olah kita tidak punyai apa-apa peranan dalam hidup ini. Setiap antara kita yang merupakan umat Islam dan menuntut ilmu bererti terbeban atas bahunya segalas perjuangan untuk kembali mengukuhkan pegangan agama lantas menumbangkan kefasadan yang sudah melata sejak sekin lama. Gerbang merdeka yang dilalui oleh rakyat Malaysia seharusnya sudah memampukan untuk sekalian kita bergerak dalam menghapuskan kejahilan ilmu dan menghalau anasir miskin dan papa yang mampu menyentap masyarakat ke kancah kekufuran. Justeru Nabi Muhammad S.A.W bersabda bahawa kemiskinan mendekati kepada kekufuran maka amat wajar untuk kita bersama mengekang diri dari menghampiri kepada kemiskinan. Kemiskinan ini tidak semata-mata dalam bentuk material namun lebih utama adalah kemiskinan ilmu pengetahuan dan iman. Barangkali inilah kemiskinan yang lebih logik dan wajar untuk kita selami dan jauhi justeru begitu ramai ilmuwan Islam terdahulu yang miskin hartanya namun gencar menyelamatkan umat Islam dari kerosakan aqidah dan kejahilan.
Golongan penyelamat ini tidak semestinya perlu ramai untuk bergerak dalam masyarakat bahkan mencukupi bagi mereka yang benar-benar punyai jiwa yang aktivis dan idealisme yang tahan diuji. Tak lapuk dek hujan, lekang dek panas. Beginilah tubuh-tubuh dan pemikiran penggerak dakwah yang sangat diperlukan dalam Islam. Budaya Touch & Go bukan lagi budaya yang harus dijadikan sandaran. Ini budaya politik lapuk dan bacul. Bacul kerana tidak berani hidup bersama masyarakat, lapuk kerana semua sudah muak dengan gaya budaya begini. 
Sekarang adalah zaman kompetensi idea dan gerak kerja. Siapa yang lambat, beliau terus diabaikan. Maka Islam mesti diperjuangkan melepasi batasan masjid, surau dan segalanya. Islam sedang bersaing dalam segenap segi kehidupan manusia moden. Sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, politik, sehinggalah kepada siapa yang sampai dahulu dalam menyelami isi hati masyarakat yang rata-ratanya bergelar Mustadh'afin. Begitu luasnya dakwah sehingga para pendakwah perlu terus berkreatif dalam membina rangka kerja yang lebih lebar dan kukuh.

Pembentang: Mohd Arif Juhani Abdul Rahman (ABABIL)
Komentar   : Encik Mohamad Abdullah (Pendaftar USM)
                    Asti Toba (UNGGAS)
                    Nurfitri Amir Muhammad (UNGGAS)
            
Sabar menanti kehadiran ahli wacana yang lain sambil membuat sedikit persediaan.

Asti memberi komentar berdasarkan realiti yang berlaku di Sabah tentang gerakan Missionary dalam memenangi hati penduduk

Saturday, October 9, 2010

Jaringan Untuk Maklumat Berkaitan Perjuangan Muslim Patani

Assalamu'alaikum w.b.t

Berikut disertakan tiga link bagi memudahkan anda untuk mendapat maklumat lebih lanjut yang berkaitan dengan bedah buku "Perjuangan Muslim Patani" iaitu:


1. Blog amanpatani. klik disini.
2. FB ustaz Kamaruddin Kassim. klik disini.
3. FB patani fakta dan opini. klik disini.

Perpustakaan Persatuan Ulama Malaysia, Pulau Pinang (PUMPP)

Alhamdulillah, melalui iltizam untuk merangka, mengisi dan menggerakkan tenaga-tenaga aktivis-da'ie-revolusioner yang mana tenaga-tenaga inilah yang akan memimpin dan mendidik umat sekaligus menumbangkan kefasadan yang melata sepanjang masa, maka, PUMPP melalui Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) bertindak membina perpustakaan untuk mengasah minda dan jiwa selain membentuk suasana intelektual dalam gerak kerja seharian staff PUMPP di pejabat Serambi Dakwah. Setakat ini PUMPP memiliki sejumlah koleksi buku yang diperoleh melalui sumbangan beberapa syarikat penerbitan seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) Berhad, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PTS Publications, Utusan Publications and Publishers dan beberapa lagi.


Justeru masih awal fasa penubuhannya maka koleksi perpustakaan amatlah terhad baik bilangan buku mahupun bidangnya. Oleh itu, PUMPP masih mengharapkan mana-mana syarikat penerbitan  dan orang ramai yang sudi untuk menyumbangkan apa juga bahan bacaan yang difikirkan sesuai. Bahan bacaan yang rosak dan cacat  yang ringan akan diperbaiki oleh PUMPP. Sumbangan wang ringgit juga amat dialu-alukan untuk menambahkan lagi kelancaran pengurusan perpustakaan. 

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Arif: 013-5045377 

Ruang bacaan yang selesa turut menjadi tempat mesyuarat PUMPP dan sebagainya.
Beberapa jilid majalah SABILI, majalah Islami paling popular di Indonesia,
yang diborong Nurfitri Amir ketika lawatan ke Indonesia yang lepas.
Koleksi buku yang masih terhad namun pelbagai.
Antara buku sumbangan UTM

Buku-buku aktivis sosial dan jurnal
Buku-buku sumbangan ITNM

Thursday, October 7, 2010

Memimpin Mustadh'afin, Menentang Mustakbirin


Mustadh'afin, Golongan yang senantiasa wujud dalam sejarah peradaban manusia. Justeru kewujudan golongan inilah maka para nabi dan revolusioner didatangkan dalam liku-liku kancah konflik yang penuh bersejarah untuk memimpin golongan ini daripada terus diperhambakan antara sesama manusia. 

Mustadh'afin punya antonimnya yakni Mustakbirin yang terciri segala kejahatan dan kefasadan dalam ideologi yang digagaskan oleh mereka. 

Selagi manusia wujud atas muka bumi ini maka selagi itulah episod pertembungan antara dua kelompok ini akan terus berlanjutan sehinggalah hari kiamat dimana tatkala itu manusia itu semuanya sama, diadili dengan mizan Ilahi yang penuh keadilan bagi menghukum mereka yang bersalah dan berdosa. 

Menyelamatkan Mustadh'afin bererti meneruskan gerak kerja para Nabi, menumbangkan Mustakbirin bererti menyelamatkan nilai-nilai kemanusiaan yang cuba dirosak hancurkan oleh Mustakbirin demi melindungi dan meneruskan siri kefasadan mereka yang penuh keangkuhan, kelicikan dan kesyaitanan. 

Demi meneruskan kefahaman para aktivis-dai'e-revolusioner yang senantiasa berada pada sisi Mustadh'afin, maka, insya-Allah pada minggu hadapan, 13hb Oktober 2010 (Rabu), siri wacana Bedah Buku USM (BBU) yang bertempat di Anjung Semarak, USM, akan menelaah buku Mustadh’afin: Golongan yang Tertindas, hasil pemikiran sasterawan-aktivis-da’ie-pemikir dan penganalisis sosial, Cikgu Azizi Abdullah (CAP). 

Semua yang berminat dijemput hadir bagi menyumbangkan idea dan solusi demi menyelamatkan nilai peradaban dan kemanusiaan daripada dirobek rakus oleh sang Mustakbirin selain untuk bersama berkongsi rasa dan nilai dengan kelompok Mustadh’afin dalam paparan buku tersebut.

Saturday, October 2, 2010

Pemilik CintaKu Setelah ALLAH dan RASUL

Novel ringkas ini mengisahkan Qaniah, seorang wanita yang sangat berhati-hati dalam menetapkan pasangan hidupnya. Keimanan yang tinggi dan kepercayaan yang menyeluruh terhadap Islam membuatkan beliau menggunakan segala pendekatan yang diajar Rasulullah SAW untuk hanya menerima pasangan hidup yang benar-benar dapat mendidik beliau dan keluarga ke jalan rahmat. Berkat kesabarannya itu, beliau akhirnya berjaya menemui PEMILIK CINTANYA, setelah Allah dan Rasul.
Penulis : Fatimah Syarha Mohd Noordin




: Semenanjung M'sia - RM12.00




Buku ini akan dibedah oleh adik zura. pada minggu hadapan hari rabu, jam 5.30 petang bertempat di Permatang Pelajar berhadapan Dewan Budaya.
Marilah sama-sama kita memeriahkan lagi majlis ilmu ini. Dan berkongsi sedikit sebanyak tip-tip oleh adik zura nanti . pasti menarik... insyaALLAH