Friday, January 14, 2011

USRAH MUROBBI BBU BERSAMA ANGKATAN PEMUDA PEMUDI ISLAM (API) - (siri 1)

RISALAH UNTUK KAUM MUSLIMIN by Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas

 

Buku ini adalah catatan kata lisan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di UKM sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di universiti itu. Di dalamnya terumus renungan mendalam pengarangnya berkenaan faham-faham utama dalam pandangan hidup Islam yang perlu diketahui oleh kaum Muslimin. Konsep-konsep penting yang dibicarakan merangkum faham agama, keadilan, ilmu, kebudayaan, kebebasan, akhlak, perubahan, pembangunan, kemajuan, kerasulan, bahasa, pengislaman, kesusasteraan, kesenian, tragedi, akal dan pensekularan.

Sedang Kaum Muslimin di merata dunia menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang semakin meruncing, Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan Profesor al-Attas yang cukup berdaya-asli dalam maksud membimbing Kaum Muslimin ke jalan yang benar. Sebab utama terjadinya keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini, menurut beliau, adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri mengenai Islam secara yang menyeluruh. Iaitu, Islam sebagai agama yang sebenarnya yang mampu melahirkan peradaban yang luhur lagi agung, yang mampu menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang tiada taranya dalam sejarah manusia. Kejahilan mengenai Islam itulah yang telah melenyapkan kesedaran akan tanggungjawab individu dan kaum Muslimin terhadap amanah ilmu dan akhlak, dan seterusnya memerangkap mereka dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu dan penyelewengan amal, hingga mereka terus terbelenggu pada rantai penjajahan pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masakini.

DISKUSI BBU BERSAMA API DALAM USRAH MUROBBI
Pada permulaan diskusi sahaja kami telah diajukan soalan ‘warm up’; “Apakah makna Islam bagi kaum muslimin pada zaman ini selari dengan makna sebenar-benarnya muslim?” Jika “YA”, adakah masyarakat Islam zaman ini mengamalkan dasar Islam? Makanya, tidakkah Islam perlu alami transformasi atau perubahan? Jika jawapannya “TIDAK”, mengapa tetap ramai yang menuntut perubahan? 
Islam adalah agama yang paling tinggi dan tidak ada agama yang lebih tinggi darjatnya dari Islam
TAPI KENAPA???
orang mukmin adalah glongan yang paling rendah dan tidak ada yang lebih rendah dari golongan mukmin
Bangsa melayu menjuarai dalam semua perkara-perkara negatif; masalah gejala sosial, buang anak, dadah, homeless. Manakala disebelahnya, Barat menjuarai pembangunan dan kebangkitan. Perkara sebeginilah yang menolak orang non-muslim untuk menerima dan mendalami Islam, bahkan umat Islam sendiri malu mengaku dirinya Islam.Adakah puncanya kerana kita terlalu bergantung kepada takdir? Adakah kerana hujah-hujah ilmu dan teknologi menggugat kepercayaan umat terhadap Islam? Apabila timbul banyak persoalan sebegini, menunjukkan diri kita sendiri keliru, sehingga kita merasakan begitu buruk nasib kita dalam Islam.

Bayangan bahawa mukmin golongan paling rendah kerana 'starting point'nya saja sudah lemah, ramai diantara kita takut untuk mencabar diri, belum bertempur sudah malu mengaku diri sebagai Islam, terlalu banyak pandangan negatif pada diri sendiri. Ditambah pula dengan sikap ego dalam meneroka ilmu Allah dan imannya lemah.

Memetik sekilas bait-bait dari sajak Iqbal; "peliknya orang muslim ini, sedang dia diuji, dia tetap tenang". Tentu saja kita pernah teruji dengan kewangan, kawan dan perjuangan, ketika itu iman kita sedang diuji, dan ketika ini lah masa terbaik untuk kita sukat tahap iman kita.

Islam itu asalnya suci dan selamanya suci, tidak berubah dan tidak ada tokok tambahnya, tapi kaum muslimin yang menjadi wajah zahir Islam tersebut. Muslimin ini pula tidak selalunya 'suci' seperti mana untuk mencerminkan Islam. Kita adalah pandangan zahir Islam.

Sedihnya, jika kita lihat apa yang berlaku kini, Islam itu diiklanburukkan oleh muslimin itu sendiri. Kita diumpamakan seperti cermin yang memantulkan sinar Islam, tapi persoalannya, kita ini jenis cermin yang bagaimana sifatnya? Jika Islam itu diibaratkan sebagai cahaya matahari, dan kita cermin yang memantulkan imej, dan pada satu ketika imej yang dipantulkan buruk, apa yang perlu dipersalahkan? cahaya matahari itu atau cermin? jawapanya jelas, namun ramai yang masih meletakkan salah itu kepada cahaya matahari, sehingga ada yang pertikaikan apa yang diajar dalam Islam, menggesa perubahan terhadap Islam, ubah sistem dalam Islam, hukum hudud dan sebagainya.

PENGGULUNGAN PEMBENTANG;
surah Al-Baqarah : 13;
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Banggalah dengan Islam yang ada dalam diri kita. jadilah cermin yang hebat memantulkan cahaya Islam. 

INFO  
ulasan bedah buku "risalah untuk kaum muslimin" ini akan didiskusikan sambungannya pada setiap hari selasa (minggu kedua setiap bulan), jam 8.30malam bertempat di Serambi Dakwah, Bagan Lalang. Sebarang info mengenai usrah bedah buku ini akan diupdate di FB- Bedah Buku USM.

No comments:

Post a Comment